Mantap semantapnya
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my
KENDERAAN Sport Utiliti (SUV) Lexus RX350 atau Harrier di negara ini tidak perlu diperkenalkan.
Sambutan hangat pembeli menyebabkan pemegang permit import (AP) aktif membawa masuk model berkenaan di pasaran.
Bagaimanapun, ramai antara pengguna tertipu dengan model berkenaan apabila pemilik menukarkan logo Toyota kepada jenama Lexus yang lebih eksklusif.
Baru-baru ini, Lexus Malaysia memperkenalkan model SUV Lexus RX350 tulen yang mendapat jaminan sepenuhnya daripada pengeluar kenderaan mewah itu.
Peluang memandu uji jentera terbaru itu merungkai tanda tanya mengapa ramai pemilik Toyota Harrier menukar nama jentera mereka kepada Lexus.
Model terbaru ini diberi suntikan berbeza termasuk kerangka lebih lebar berbanding model sama sebelumnya.
Malah, RX350 menerima suntikan pelbagai teknologi terkini yang membolehkannya bersaing bersama jenama pengeluar kenderaan lain dari Eropah.
Terkini, teknologi Smart Entry and Start System benar-benar memberi kelainan terhadap mana-mana SUV di negara ini.
Penulis hanya perlu menyentuh pemegang pintu dan RX350 juga boleh dihidupkan dengan menekan butang Engine Start/Stop tanpa mengeluarkan anak kunci dari dalam poket.
Terdapat sensor khas yang mengesan pemilik anak kunci, seterusnya membenarkan penggera dimatikan dan enjin boleh dihidupkan sebelum dipandu.
Itulah antara teknologi terkini RX350 yang dibawa Lexus Malaysia, sebuah satu syarikat di bawah UMW Toyota Motor Sdn Bhd.
Ruang hadapan dihiasi dengan gril krom bergaris halus bersama perumah lampu hadapan meruncing diisi bersama projektor HID AFS.
Lampu AFS RX350 membolehkan cahaya yang dipancarkan membelok mengikut putaran stereng pemandu.
Susuk tubuh RX350 yang besar dengan alur lembut menampakkan personaliti maskulin selain gaya mewah terserlah.
Lampu belakang kristal jernih menjadi 'trademark' semula jadi Lexus RM350.
Ruang dalaman kaya dengan elemen mewah sebaik sahaja punggung dilabuhkan ke kerusi empuk pemandu.
Paparan meter dan ruang kokpit sangat kemas, butang kawalan audio dan penghawa dingin disusun memanjang memudahkan pemandu mencapai punat diperlukan.
Sistem elektronik banyak mempengaruhi ruang dalamannya seperti mengubah kedudukan stereng mahupun tempat duduk dengan tiga mod memori.
Balutan kulit berkualiti tinggi dan latar hitam menjadikan RX350 membuatkan pemandu dan penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan.
Hampir keseluruhan ruang dalaman RX350 terbaru ini mengalami perubahan ketara berbanding model terdahulu.
Ini termasuk paparan pelbagai maklumat White Organic Light Emitting Diode (OLED) yang menambah ciri mewah pada kenderaan.
Nadi yang dibekalkan pada RX350 masih menyamai model terdahulu iaitu 3.5L enam silinder (V6) 24 Injap DOHC Dual VVT-i.
Bagaimanapun, penggunaan sistem transmisi Super ECT dengan AI Shift Automatic enam kelajuan menjadikannya lebih faham gaya pemanduan pemandu.
Walaupun terpaksa memerah tenaga membawa badan agak besar, enjin RX350 tetap lancar dan senyap sehingga penulis merasai seperti memandu sebuah sedan mewah.
Jika memandu secara santai, simbol ECO akan keluar di papan meter menandakan enjin berfungsi dengan optimum.
Namun, jika memerlukan kuasa serta-merta, tekan saja pedal minyaknya dan RX350 akan meluncur seperti peluru.
RX350 mampu memecut sehingga 200 km/j manakala lapan saat diambil untuk bergerak dari pegun sehingga ke kelajuan 100 km/j.
Teknologi terbaik Toyota menjadikan Lexus RX350 memiliki pelbagai personaliti sama ada sebagai kenderaan mewah santai atau lasak dan gagah.
Sistem suspensi daripada pegas MacPherson (depan) dan Double Wishbone (belakang) banyak membantu kestabilan RX350 dan keselesaan penumpang.
Sistem audio premium dari Lexus menawarkan pemain cakera padat dengan penukar bersama sembilan pembesar suara berkualiti tinggi.
Bagaimanapun, ketiadaan sistem GPS mengurangkan kelebihan yang ada model ini berbanding pesaing lain.
Mengimbangi kuasa yang ada pada RX350, jentera gagah ini dibekalkan dengan 10 beg udara, ABS, BA, VSC, TRC dan EBD.
Berharga RM377,000 (tanpa insuran), RX350 adalah sebuah jentera SUV mewah terbaik pernah dikeluarkan Lexus.
SPESIFIKASI
Lexus RX350
Enjin: Dual VVT-i V6 24 Injap DOHC, 3,456cc
Transmisi: Super ECT dengan AI Shift Automatik enam kelajuan
Kuasa maksimum: 273hp pada 6,200rpm
Tork maksimum: 346Nm pada 4,700rpm
Ciri-ciri keselamatan: 10 beg udara, VDIM, ABS, BA, EDB, EPS, HAC, TRC dan VSC.
Harga: RM377,000 (tanpa insurans)
Tayar dicadangkan
ContiCross Contact UHP
235/60 R18 103V FE


0 ulasan:
Catat Ulasan